Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY
SEMINAR Mendaulatkan Bahasa Melayu yang bertemakan “Bahasa Melayu Meniti Era Revolusi Industri ke-4” telah diadakan pada 16 Ogos 2018 di Dewan Bankuet, Universiti Putra Malaysia (UPM). Penganjuran seminar ini bertujuan untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan tinggi terus diperkukuh selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta sebagai pembentuk jati diri bangsa Malaysia dan generasi akan datang. Seminar anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama UPM dan Dewan Bahasa dan Pustaka ini merupakan usaha untuk menggalakkan ahli akademik dan penjawat awam memperkaya dan memperluas penggunaan bahasa Melayu dalam menghadapi gelombang Revolusi Industri Keempat .
Sebagai acara pembukaan seminar ini, Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris telah menyampaikan ucapan alu-aluan beliau. Ucaptama pertama bertajuk “Bahasa Melayu Meniti Era Revolusi Industri Keempat” disampaikan oleh Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dato’ Dr. Mohd. Yusof Othman.
Menurut Dato’ Dr. Mohd. Yusof Othman, Revolusi Industri Keempat secara umumnya membabitkan Internet of Things (IoT) dalam setiap aspek kehidupan harian. Revolusi ini juga membabitkan penggunaan mesin berkuasa wap, revolusi elektrik dan teknologi maklumat secara menyeluruh dan meluas. Oleh hal yang demikian, katanya, kepentingan memartabatkan bahasa Melayu bukan hanya untuk menghadapi Revolusi Industri Keempat, bahkan untuk memastikan sahsiah, keperibadian, jati diri dan nilai masyarakat penuturnya dimantapkan seiring dengan kemajuan sains dan teknologi.
“Pembangunan sains dan teknologi dalam peradaban Barat bersifat sekular serta terpisah daripada sistem nilai budaya dan agama. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa pengantar kepada pembangunan sains dan teknologi dalam tamadun di alam Melayu,” demikian kata beliau dalam ucaptamanya.
Selepas sesi ucaptama, pengisian seminar diteruskan dengan forum pertama yang menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu pensyarah Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Proses, UKM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud, bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia, Datuk Profesor Dr. Azizan Baharuddin. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar bertindak selaku moderator forum.
Ucaptama kedua pula bertajuk “Cabaran Pelestarian Bahasa Melayu Menjelang Revolusi Industri Keempat” disampaikan oleh Profesor Dr. Arndt Graf, Ketua Pengajian Asia Tenggara, Universiti Goethe, Frankfurt, Jerman. Menurut beliau, sejak pertengahan tahun 2010, istilah Revolusi Industri Keempat semakin tersebar di negara ini hingga menimbulkan kebimbangan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Namun demikian, kebimbangan ini bukan hanya terjadi di negara ini, malah turut diperkatakan di Indonesia dan Thailand sehingga menimbulkan pertanyaan, adakah wacana tentang Revolusi Industri Keempat perlu dikendalikan dalam bahasa Inggeris? Berkaitan dengan hal ini, Profesor Dr. Arndt Graf yakin bahawa bahasa Melayu tidak akan terancam dengan kemaraan Revolusi Industri Keempat selagi penuturnya terus mendaulatkan serta berusaha memperluas dan melestarikan penggunaannya.
Forum kedua yang mengekalkan Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar sebagai moderator menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Sarjit Singh a/l Darshah Singh (UPM) dan Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir (UPM).
Majlis penutupan seminar disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang mewakili Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. Seminar yang berlangsung selama sehari ini dihadiri oleh ahli akademik, warga KPM, penjawat awam daripada pelbagai agensi/kementerian dan pelajar institusi pengajian tinggi, terutama yang mengkhusus dalam bidang bahasa dan linguistik.